MACHANG: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mati lemas ketika mandi-manda bersama rakannya di kawasan pam pasir Kampung Bagan, Pulai Chondong di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Machang Supt Ahmad Shafiki Hussin berkata mayat mangsa Mohamad Fahmi Adlan Mohd Faizul Azli berjaya ditemukan oleh penduduk kampung yang turut membantu mencari di sekitar kawasan terbabit lebih kurang pukul 12.25 tengah hari.

"Mangsa bersama lima rakan yang lain telah mandi di sungai berkenaan. Hasil siasatan mendapati mangsa lemas ketika sedang berenang untuk mengambil baju yang hanyut dengan seorang lagi rakannya.

"Bagaimanapun, hanya rakan mangsa yang berjaya menyelamatkan diri, manakala Mohamad Fahmi Adlan tidak dapat dikesan ketika itu kerana tidak timbul dari permukaan air sehingga menyebabkan rakan yang lain bergegas memaklumkan kepada orang awam mengenai kejadian terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shafiki berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Pulai Chondong dan punca kematian disebabkan mati lemas.

"Polis Machang menasihati masyarakat terutama ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau dan mengawasi setiap pergerakan anak-anak dalam jagaan masing-masing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

-- BERNAMA